Latest Releases

Wednesday, 2 September 2015

Kencing Manis (Diabetes Mellitus)

Apakah diabetes mellitus?
  • Penyakit diabetes mellitus adalah satu keadaan di mana paras glukos (gula) adalah tinggi di dalam darah disebabkan oleh kekurangan atau kurang keberkesanan insulin.
  • Keadaan ini disebabkan oleh kurang hormon insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas.
  • Insulin mengawal keseimbangan glukos dalam badan dengan membantu pergerakan glukos dari darah ke dalam sel.
  • Sekiranya anda mengalami diabetes mellitus, glukos tidak boleh masuk ke dalam sel, ia kekal di dalam darah dan menyebabkan paras glukos yang tinggi.
Apakah jenis-jenis Diabetes Mellitus?
  • Terdapat dua jenis Diabetes Mellitus
    • Diabetes mellitus jenis 1.
    • Diabetes mellitus jenis 2.
  • Diabetes mellitus jenis 1 selalu terjadi dikalangan kanak-kanak dan remaja, ia meliputi > 90 % kes kencing manis.
Adakah penyakit ini sering berlaku?
  • Kejadian diabetes mellitus berbeza antara negara dan komuniti. Di Malaysia dianggarkan kurang dari 1 %.
  • Orang dewasa selalunya mendapat diabetes mellitus jenis 2 tetapi dengan masalah kegemukan di seluruh dunia, kanak-kanak juga boleh mendapat diabetes mellitus jenis ini
Apakah yang menyebabkan diabetes mellitus?
  • Sebab diabetes mellitus terjadi dikalangan kanak-kanak tidak diketahui.
  • Kemungkinan ia melibatkan gabungan antara keturunan dan faktor persekitaran.
  • Diabetes mellitus jenis 1: Kanak-kanak dan remaja selalunya mendapat jenis 1. Ia adalah satu keadaan "antoimmune" di mana sistem imun badan pesakit menyerang tisu-tisu dan organ badannya sendiri.
  • Diabetes mellitus jenis 2: Dilaporkan kerap terjadi dikalangan kanak-kanak di negara-negara yang mengalami peningkatan kadar kegemukan/obesiti.
  • Sebab-sebab lain termasuk kecacatan genetik fungsi pankreas di mana diabetes mellitus berlaku ketika seseorang itu masih muda (maturity onset of diabetes in the young: MODY).
Apakah gejala penyakit diabetes mellitus?

Gejala yang ditunjukkan oleh pesakit diabetes mellitus jenis 1 bermula 1 minggu atau lebih sebelum kanak-kanak tersebut betul-betul sakit. Anak anda mungkin mengadu:
  • Kerap kali kencing dan air kencing banyak (siang dan malam).
  • Rasa haus yang amat sangat.
  • Berat badan menurun.
  • Rasa letih lesu dan kurang tenaga.
Perhatian: (Kencing malam) pada kanak-kanak yang telah terlatih mengawal pundi kencingnya dikenali sebagai "secondary enuresis". Sekiranya anak anda mengalami masalah ini, diabetes mellitus haruslah disyaki.


 Kanak-kanak obesiti

Gejala tambahan yang sering berlaku pada kanak-kanak:
  • Sakit perut dengan atau tiada muntah.
  • Sakit kepala.
  • Masalah tingkah laku.
  • Mudah mendapat jangkitan terutama di kulit.
Sekiranya gejala ini tidak dikenal pasti awal, kemungkinan besar anak anda akan mengalami "diabetic ketoacidosis" (DKA).

Apakah "diabetic ketoacidosis"?
  • Ia adalah keadaan kecemasan di mana kanak-kanak mengalami paras glukos yang tinggi dalam darah dengan pernafasan yang cepat serta dalam keadaan keliru atau koma.
  • Dalam keadaan ini, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera. Anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan insulin dan terapi cairan.
Diabetes mellitus jenis 2 terjadi pada kanak-kanak di ambang atau selepas akil baligh. Ibu bapa mungkin tidak mengetahui anak mereka mengalaminya sebab tanda-tandanya kurang jelas jika berbanding dengan diabetes mellitus jenis 1.

Masalah apakah yang timbul akibat diabetes mellitus?

Bermulanya komplikasi bergantung pada jangka masa dan kawalan kencing manis. Komplikasi ini hanya akan berlaku di kemudian hari iaitu semasa usia dewasa. Doktor anda akan memberitahu sama ada diabetes mellitus anak anda terkawal atau tidak apabila anda datang untuk lawatan susulan.
Tahap glukos dalam darah yang terkawal akan mengurangkan atau melambatkan berlakunya komplikasi yang melibatkan organ-organ berikut:
  • Ginjal: kegagalan ginjal.
  • Mata: kebutaan.
  • Jantung: serangan sakit jantung, serangan angin ahmar.
  • Salur darah: tekanan darah tinggi, peningkatan taraf lipid (lemak).
  • Sistem saraf: masalah deria.
  • Organ reproduktif: mati pucuk (impotent).
  • Kaki: masalah kaki (diabetic foot)
  • Kulit: jangkitan kulit berulang seperti bisul.
Komplikasi ini boleh terjadi selepas akil baligh. Doktor anda akan memberi jadual lawatan susulan untuk ujian darah dan air kencing bagi mengesan sebarang komplikasi.

Apakah hipoglisemia dan bagaimana anda mengenalinya?

Dalam masa anak anda menjalani rawatan, anda perlu tahu yang dia mungkin menghadapi hipoglisemia (tahap glukos rendah dalam darah) di mana dia perlu mengambil makanan atau minuman yang manis untuk memperbaiki keadaan.
Tanda dan gejala hipoglisemia:
  • Berpeluh sejuk/berpeluh banyak.
  • Menggeletar.
  • Letih dan lesu.
  • Perubahan tingkahlaku/tidak sedar diri.
  • Tahap glukos rendah semasa pemantauan di rumah.
Bagaimana merawat diabetes mellitus dikalangan kanak-kanak?
  • Pada bila-bila masa, anak anda akan dilihat oleh ahli pasukan diabetes dellitus hospital (hospital diabetes team) seperti Pegawai Perubatan, Pegawai Dietetik, Fisioterapi, Terapi Carakerja, Pakar Otopedik, Pakar Psikologi, Pegawai Pendidikan Diabetes dan Pegawai Kebajikan Masyarakat untuk nasihat dan rawatan tertentu.
  • Sekiranya anak anda mempunyai diabetes mellitus jenis 1, dia memerlukan rawatan insulin sepanjang hayat.
  • Dalam diabetes mellitus jenis 2, ubat secara oral (makan) dan suntikan insulin diberi untuk menurunkan tahap glukos dalam darah.
  • Untuk kedua-dua jenis diabetes mellitus, anak anda mesti mengambil makanan yang disarankan mengikut sukatan dan melakukan senaman.
  • Untuk mengetahui tahap kawalan glukos anak anda, ujian darah yang dipantau di rumah (home blood glucose monitoring: HBGM) perlu dilakukan. Alat yang digunakan ialah glukometer.
  • Rekodkan keputusan ujian glukos darah, beserta hari bulan dan masa ujian di dalam buku harian (diary). Dos insulin boleh disesuaikan mengikut bacaan glukos jika perlu.
  • Pegawai Pendidikan Diabetes akan mengajar anda dan anak anda mengenai diabetes mellitus.
  • Pegawai Dietetik akan kerap kali berjumpa anda dan anak anda untuk memberi nasihat mengenai pemakanan yang sesuai supaya dapat mengawal tahap glukos dalam darah.
  • Anak anda dinasihati untuk melakukan senaman secara tetap kerana ini boleh membantu mengurangkan tahap glukos dalam darah. Insulin bertindak dengan lebih efisyen dan membantu mengawal berat badan.
  • Bergantung kepada masalah anak anda, dia perlu berjumpa dengan ahli pasukan diabetes dari masa ke semasa untuk rawatan atau nasihat.
  • Kanak-kanak yang mengalami diabetes mellitus perlu datang untuk lawatan susulan secara berkala dan dipantau oleh doktor.
Apakah yang perlu dilakukan untuk kanak-kanak yang mengalami diabetes mellitus?

Anak anda mungkin mengalami masalah untuk memahami keadaannya dan menyesuaikan dirinya. Kemungkinan dia juga akan mengalami masalah untuk menerima rawatan (terutama rutin suntikan insulin). Kaunseling dan sokongan psikologi adalah penting untuk anak anda. Dapatkan nasihat doktor dan pakar psikologi.

Bolehkah diabetes mellitus dicegah?
  • Tiada cara yang jelas untuk mengelakkan diri daripada mendapat diabetes mellitus jenis 1.
  • Untuk diabetes mellitus jenis 2, adalah disarankan anda mengamalkan gaya hidup sihat.
Pemulihan
Kanak-kanak yang tidak mengawal diabetes mellitus akan mendapat komplikasi yang teruk dalam jangka masa panjang. Kemungkinan besar mereka memerlukan satu program pemulihan yang melibatkan fisioterapi dan terapi carakerja.


Kumpulan sokongan

1) Persatuan Diabetes Malaysia
No 2 Lorong 11/4 E
46200 Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel +603-79574062
Fax +603-79557740

2) Pusat Sumber Diabetes di hospital



*Sumber
Read »

Pengawalan diabetes

Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit diabetes tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan cara berikut:
  • Penjagaan pemakanan dan berat badan
  • Kerap bersenam
  • Pengubatan
  • Pemakanan pesakit Diabetes seharusnya kurang lemak dan kalori serta seimbang.

Pesakit diabetes boleh menjalani kehidupan yang normal dengan syarat pesakit itu dikawal dengan betul. Lebih kurang 40% pesakit diabetes mampu mengawal keadaan penyakit mereka dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Manakala selebihnya adalah dengan mengambil sama ada ubat (pil) dan/atau suntikan insulin di samping pemakanan yang sihat dan bersenam. Walau apa pun ubat yang diambil, perkara-perkara berikut perlu diketahui dan dipatuhi :
  • Bila hendak mengambil/makan ubat dan berapa banyak ubat yang perlu diambil?
  • Jenis rawatan yang diterima?
  • Dimana hendak mendapat ubat?
Read »

Sejarah Penyakit kencing manis

Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, India, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 SM. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua jenis berlainan semenjak abad ke lima lagi.

Nama lain kencing manis, diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu. Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Diabetes Melitus atau secara amnya dikenali sebagai kencing manis, merupakan satu penyakit kronik (tidak boleh pulih sepenuhnya) dan hampir 8-9% masyarakat dewasa di Malaysia mengidap penyakit ini.

Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat sama ada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis.

Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glukos dalam darah.
Read »

Penyakit kencing manis

Penyakit kencing manis ataupun (BM = Diabetes melitus; Inggeris = diabetes mellitus merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah), terutamanya selepas pengambilan makanan, pada penghidapnya.
Secara umumnya, penyakit kencing manis dapat digolongkan sebagai:
  • Diabetes jenis pertama (I) juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin (IDDM - 'Insulin Dependent Diabetes Mellitus') atau diabetes awal remaja. Diabetes jenis I dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap diabetes jenis pertama mula mendapat simtom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah.

  • Diabetes jenis kedua (II) boleh disebabkan oleh kerintangan insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) dan/atau penghasilan insulin yang berkurangan. Diabetes jenis II, oleh kerana masih mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas, boleh dikawal secara pemantauan pangambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam, dan pengambilan ubat secara makan/suapan ( suntikan insulin diperlukan dalam keadaan tertentu sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau memberi kesan samping serius kepada pesakit).
Read »

Ads

Copyright © 2015 Kencing Manis

Designed by | Distributed By Gooyaabi Templates

Edited Design and developed by Puteri Grocer